10 tahun kahwin akhirnya cerai sebab suami ada adik angkat
"Sikap suami mula berubah apabila lewat pulang ke rumah selain sering menghadapi masalah kewangan"
IPOH - Perkahwinan atas pilihan keluarga hanya bertahan selama sedekad gara-gara kehadiran orang ketiga yang digelar sebagai adik angkat.
Pada awalnya Liza (bukan nama sebenar) dan suami, Hariz sangat bahagia meskipun baharu mengenali hati budi masing-masing selepas diijabkabulkan.
“Saya ketika itu berusia 22 tahun mengikut pilihan keluarga untuk bernikah dengan Hariz, 30, yang merupakan seorang anggota tentera,” kata Liza.
Wanita berusia 50 tahun itu berkata, selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, sikap Hariz mula berubah apabila lewat pulang ke rumah selain sering menghadapi masalah kewangan
“Tembelangnya mula pecah apabila rakan beritahu dia ada wanita lain selain turut terbabit dalam judi,” katanya.
Tambah Liza, dia mula mengikuti pergerakan suaminya hinggalah bertemu pasangan itu di sebuah taman rekreasi di Kuala Lumpur.
“Saya ambil keputusan untuk menamatkan hubungan ini dan akhirnya suami melafazkan talak satu.
“Saya tak tahu ada undang-undang boleh dikenakan jika ada orang ketiga yang ganggu rumah tangga orang lain. Bagaimanapun semua sudah berlalu dan saya gembira dengan kehidupan kini,” katanya.