Kesalahan guna lorong kecemasan, pemandu beri alasan Nak cepat sebab nak buang air kecil
Rawang: Ingin cepat sampai dan nak singgah di Hentian Sebelah Rawang untuk membuang air kecil.
Itu antara alasan diberi pengguna selepas dikesan melakukan kesalahan dengan menggunakan lorong kecemasan.
Bagaimanapun, perbuatan mereka turut dirakam dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan dalam Op Selamat 19 sempena Tahun Baru Cina di Kilometer 436 Lebuh Raya Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, hari ini.
Kebanyakan pengguna yang tidak mengetahui tindakan mereka dirakam dron yang membuat pemantauan di udara meluahkan perasaan tidak berpuas hati apabila ditahan polis dan disaman.
Malah, ada juga yang tidak mengaku menggunakan lorong kecemasan namun akur selepas ditunjukkan bukti video dan gambar kenderaan mereka melakukan kesalahan itu.
Dalam operasi bermula jam 5 petang itu, antara kesalahan yang dikesan adalah menggunakan lorong kecemasan, potong Q dan membawa muatan bahaya dengan 56 saman dikeluarkan.
Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Radi Abd Rahman berkata, pemantauan yang diadakan hari ini bukan sekadar menggunakan konsep payung tetapi turut memantau dengan dron.
Menurutnya, tujuannya bagi melancarkan aliran trafik yang dijangka berlaku kesesakan di kawasan ini dan kawasan lain.
"Jadi kita ingin memastikan kelancaran perjalanan demi pengguna supaya mereka selamat sampai ke destinasi masing-masing.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti banyak dilakukan adalah menggunakan lorong kecemasan dan kami menyeru pengguna lebuh raya serta jalan persekutuan supaya berhati-hati di jalan raya dengan mematuhi peraturan lalu lintas," katanya ketika ditemui media di lokasi operasi hari ini.